Friday, 21 December 2012

Yang Tertutup Itu Indah Part 2


Yang tertutup itu indah…. 

Teringat aku ketika zaman sekolah menengah dahulu…aku bukanlah datang dari sekolah yang hebat mahupun pandai…dek kerana terlalu ikutkan nafsu dan emosi,  aku abaikan pelajaran…sedang kakak dan abangku jauh lebih hebat dari aku…. Tetapi aku bersyukur memiliki mereka…kerana mereka sangat merendah diri dan meletakkan aku di tahap sangat mulia dan sangat disayangi oleh mereka….walaupun ketika itu…aku terfikir…

 ‘ Ahhh…mungkin saja nak ambil hati….’ 

Sedang mereka memiliki apa yang semua ibu bapa inginkan terhadap seorang anak… Di pandangan masyarakat lain mereka ( abang dan kakakku) sangat dibanggakan…Sedang aku? Tetapi tidak bagi emak! Emak terlalu memberi sepenuh perhatian dan kasih sayangnya padaku… Tetapi ketika itu, fikiranku hanya dilimpahkan dengan bisikan syaitan…yang suka mengisi fikiranku dengan benda-benda tidak baik.Ku sangka emak sengaja ‘mengada-ada’ kan kasih sayangnya padaku, sengaja mengambil hatiku…sengaja buat-buat baik padaku… Ya Tuhan! Berdosanya aku dahulu….

        Aku ditempatkan di sebuah sekolah menengah yang rata-rata 99 peratus daripadanya pelajar perempuan… Aku menangis sepanjang tempoh 1 bulan di asrama tersebut…tidak suka..benci…tak selesa…rimas dan sebaginya…

 Namun hampir setiap bulan kakakku yang hanya selang setahun dari usiaku…sering mengutuskan surat…panjang berjela isinya….cukup padat nasihatnya…cukup indah kata-katanya… pantas terkesan setiap butir bicaranya….

Hingga setiap kali aku membacanya…pasti airmata ini berguguran….emosi ini tersentuh….dengan tegurannya yang penuh hikmah… saat itu aku rasakan aku terlalu menyayanginya….. Duhai kakak! Ketahuilah olehmu…. Sesungguhnya aku masih merindui tarbiyah darimu seperti dulu-dulu….. Ketika itu, kakak sedang menuntut di salah sebuah sekolah menengah agama yang cukup hebat bagiku…

        Setiap kali aku ,adik-adik, emak dan abah ( abang di asrama lain ) menziarahinya…pasti kawan-kawannya mengiringi kakakku untuk sama-sama bersalam-salaman dan berkenalan….hatiku cukup terusik ketika itu apabila melihatkan mereka semua ‘bertudung labuh’… sungguh tinggi akhlaknya…. Walaupun ketika itu aku? Dengan fesyen yang ntah apa-apa ntah! Ikut zaman kononya… aku terlalu jauh berbeza dari mereka…tetapi mereka melayaniku dengan penuh mesra dan terlalu baik…tidak segan silu kakakku kenalkan aku pada sahabat-sahabatnya…SubhanaAllah! Baiknya mereka!.. Dari saat itu aku mula menyimpan satu hasrat untuk jadi seperti mereka!....tapi….jauh di sudut hati ntah bila! Emmm….

        Ku tinggalkan sebentar tentang kisah itu….. Akhirnya rutin harianku di asrama lebih menjadi seronok berbekalkan berpucuk-pucuk surat yang dikirimkan oleh kakak. Semangatku jadi membara …usahaku jadi berlipat kali ganda….impianku hampir terlaksana… Aku bersyukur…dari hari ke hari terasa hidup penuh terisi… sehinggalah pada suatu hari, kami dikhabarkan dengan berita ada program kakak angkat akan di adakan hujung minggu ini. Ianya di kendalikan oleh pelajar-pelajar sekolah agama dari Johor Bahru…aku amat teruja dengan perkhabaran itu…

        Hari yang dinanti-nanti sudah tiba…Ku lihat sebuah bas memasuki ke perkarangan sekolah kami…Berbondong-bondong kakak-kakak  sekolah agama itu turun dengan penuh tertib. Senyuman demi senyuman dilemparkan. Menyemarakkan rasa kesoronokan yang mula terbit dari hati ini. 

        Terpaku seketika melihat keramahan mereka…melihat sapaan yang di berikan… melihat rupa paras mereka…suci..murni…tenang…dan sungguh mendamaikan! Terfikir sejenak : mahukah mereka berbaik-baik dengan kami, sedang kami jauh beza dari mereka…kami rock, brutal, gangster, pakaian pun ada yang tak senonoh, rambut ber ‘kala2’.. Emmm….hatiku di rundung sedih semula.  Ku diamkan diri sehingga  arahan diberikan, seorang kakak akan diberikan 6 orang adik. Aku melihat sahaja pegagihan dibuat. Malas hatiku untuk berkata apa-apa.

        Jika tidak silapku, kakak yang diberikan pada kumplan kami namanya “Marina”…sangat ayu…sentiasa tersenyum…lemah lembut tuturnya…. Lalu bermulalah usrah kumpulan kami..

“ Assalamualaikum adik-adik…kenapa ni akak tengok adik-adik macam takut je dengan akak?..Emm.. akak tak makan orang la…” luahnya secara bersahaja.

“Err…tak delah!”. Cepat-cepat salah seorang ahli kumpulan kami menidakkannya. Tunjuk berani kononya.

        Nasihat demi nasihat diberi…kisah-kisah nabi dijadikan bahan perbincangan. Seorang demi seorang bertanya. Aku hanya mampu diam. Ntah apa yang kufikirkan ketika itu, aku pun tidak tahu. Aku hanya melirik melihat ‘tudung labuh’ yang dikenakan…indah! Tertutup! Tidak namak langsung bentuk badannya..bajunya dikancingkan di pergelangan…kaki disarungkan dengan stoking hitam… Ayu raut wajahnya…sesekali  angin dari kipas meliuk-liukkan tudung labuhnya. Namun, Ia tetap melindungi empunya badan. Ku pasang angan-angan…aku mula berkhayal….bolehkah aku jadi sebaik kakak ini? Layakkah aku? Lamunan ku terhenti,  bila kak Marina menyapaku. “ Adik? Faham tak?” “Err..faham! faham!..” Merah padam muka ku malu…dek kerana berangan tak bertempat…lantas ku tersenyum sipu..

        Sesi usrah berjalan dengan penuh tenang dan hikmah…setelah beberapa jam kami mula beredar dan tiba masanya untuk berehat  dan menunaikan solat zuhur kemudian sebelah petang kami ada program memuliakan Al-Quran. Kakak lain pula terlibat. Melewati waktu asar, rombongan kakak-kakak itu akan pulang…mereka tidak akan kembali lagi….program mereka 1 minggu satu sekolah ( hanya hujung minggu hari sabtu sahaja).

        Kami beramai-ramai berhimpun di hadapan bas. Semua bersalam-salaman…hatiku mula tersentuh…rupa-rupanya…hatiku mula terpikat dengan akhlak yang kak Marina tunjukkan.Awan mendung yang seakan mahu hujan mula menyeliputi ruang hatiku….Hatiku mula berbisik…

        “Oh! Tuhan! Mengapa insan-insan sebaik kakak ini hanya singgah sebentar di hatiku….tika aku memerlukan segala nasihatnya…dia akan pergi meninggalkanku…”…hatiku merintih hiba…

        Manik-manik jernih mula bertakung di kolam mataku…..seolah-olah menunggu masa untuk gugur sahaja! Lantas ku di sapa…” Assalamualaikum adik….nah! “ sepucuk surat di hulurkan padaku. Aku tergamam sambil membelek-belek surat yang di beri. 

        “ Ingat akak tau! Rajin solat! Rajin belajar…jadi insan yang disayangi Allah ye! Assalamualaikum…” sambil salam di hulurkan…kami berpelukan…air di kolam mataku berjujuran dengan lajunya….” Kakak..”… Aku di tinggalkan dengan tersedu sedan…. Bas berlalu pergi hingga hilang dari pandangan…Aku masih terkaku….

        “ Emm.. emosi sangat!”… ada kata-kata yang membuatkan aku tersentak. Ku sapu airmata. Malu. Sedih. Hiba dan sebagainya… 

        Kini rupanya kisah-kisah itu membawa seribu makna bagiku…..Dari dulu aku terdorong akan sifat muslimah yang ditonjolkan oleh insan-insan di sekelilingku…Entah kenapa hati ini mudah terpaut…sedangkan ketika itu aku lebih bersifat biasa-biasa. Ustazah Muhaya…Cikgu Norisah…Kak Elmi Johana… dan ramai lagi…mereka semua ini bertudung labuh…. Lama aku tidak menemui mereka. Kekadang terbit rasa malu dalam diri, andainya watu ini aku dipertemukan dengan mereka… Ya lah…. Dulu aku amat nakal… Malu untuk di kenang….
        Hinggakan bila aku ingin memilih pasangan hidup…hatiku terdorong untuk mencari ustaz…tetapi Allah maha mengetahui apa yang terbaik untuk ku… Aku ditemukan jodoh degan insan biasa..bukan ustaz…tetapi suruhan dan larangannya melebihi seorang ustaz…
        Kerana dirinya banyak merubah kehidupan ku….Penuh sabar dan tabah dirinya bertemankan isteri seperti ku….aku berharap begitu tabah dan sabar juga aku membina mahligai kami dengan penuh dakwah dan tarbiyah….


Tuesday, 4 December 2012

Yang Tertutup Itu Indah




 
  Yang Tertutup Itu Indah



Ketika kubertanya tentang tudung labuh, mudah jawapan yang pernah kuterima, “Yang tertutup itu indah!” Jawapan yang membawaku mengkaji surah al-Ahzab ayat 59, maksud dan tafsirannya. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud: “Wahai Nabi, katakan kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu, dan isteri-isteri orang mukmin, ‘hendaklah mereka melabuhkan jilbab ke seluruh tubuh mereka. Yang demikian itu supaya mereka mudah dikenali sebagai wanita baik agar mereka tidak diganggu.’”



Ya, sedangkan buku yang kita sayangi, kita sampulkan seindahnya. Inikan pula bentuk tubuh wanita, takkan tiada sampulnya? Kuperhatikan kulit bukuku yang bersampul lebih terjaga berbanding kulit buku yang tidak bersampul. Kuperhatikan langsir yang cantik menghias pintu dan tingkap. Kuperhatikan kain yang mengalas meja dan perabot. Benar, yang tertutup itu indah! Begitu juga cara Allah menghargai keindahan wanita dengan menggariskan perbatasan aurat. Agar keindahan itu hanya dinikmati oleh insan yang berhak. Bukannya diratah-ratah oleh pandangan yang sakit.

( Dipetik dari artikel Ustazah Fatimah Syarha)



           Bagi diriku…walaupun pada awalnya aku teragak-agak untuk lakukan perubahan namun akhirnya aku temui kekuatan itu disebalik beribu kisah, cerita dan juga pengalaman diriku sendiri.... Puas sudah ku lalui kehidupan yang 'menyeronokkan'...kini aku terpanggil untuk berfikir dimana kesudahannya sebelum AJAL ku datang menjemput....Untuk sekiannya juga aku tertarik dengan penampilan Ustazah Fatimah Syarha yang penuh sopan santun.. manis tutur kata …sangat sabar jiwanya...hidupnya penuh dengan dakwah...ingat mengingati...berkasih sayang...kata-katanya penuh tarbiyah…penanya sentiasa berdakwah…kesabarannya dalam melayani pertanyaanku sangat aku kagumi…walaupun diri ini antara beribu insan yang mengharapkan tarbiyah…beliau tetap sempat malayani pertanyaan ku dengan penuh indah dan penuh dakwah…Terima kasih Allah kerana menemukan ku dengan Ustazah Fatimah Syarha ini…Aku tekadkan hati...ku lakukan semua ini bukan kerana suami..bukan untuk mencari populariti....bukan juga kerana Ustazah fatimah Syarha...jauh sekali untuk menyombong diri...tetapi ku tekad ku lakukan semua ini hanya kerana Allah!

                'Tautan hati' salah satu karya tarbiyah dari Fatimah Syarha yang benar-benar menguji hatiku....'Sejauh mana dalamnya cintaku kepadaMu Ya Allah...'  ....Barangkali mungkin ada yang menganggap buku-buku cerita adalah suatu dunia khayalan…namun bagiku tidak, untuk novel-novel karya Fatimah Syarha….setiap bukunya mempunyai tarbiyah yang sangat tinggi dan sangat ‘mahal’ bagiku…dengannya hati terpaut untuk terus membina diri dengan ciri muslimah sejati…denganya aku bangkit untuk mencari cinta Ilahi….dengannya aku cuba membina sahsiah diri…..dengannya juga aku menginsafi segala masa silamku…



           Ya,  mungkin bila ‘ku bariskan’ perkataan masa silamku…ramai yang beranggapan …
    'Hey! Ko pernah sampai berzina ke? Yang sampai nak berubah macam ni sekali?..'
         'Berzina' dalam konteks nilaian hati-hati yang lalai mungkin di anggap zina menggadai diri ( terlanjur) walhal…tahukah dan sedarkah kita pengertian zina terlalu luas …



           Zina mata - dengan melihat aurat yang tededah  di sana sini.... perlakuan cium, peluk, pegang tangan, membelai mesra, bertutur manja (yang muhrim dengan yang bukan muhrim) dalam lakonan tv, bukankah itu mengundang zina mata? Jangan mudah menganggap yang haram itu biasa dek kerana dunia yang serba moden ini... 'mata' yang khusyuk melayari internet dengan menghebahkan keburukan dan aib orang...tempat yang dijadikan luahan rasa marah dan menuduh itu dan ini....yang pasti jauh dari diri mengingati Ilahi..( Namun...Alhamdulillah bagi mereka yang suka kepada ilmu dan menyebarkan ilmu yang bermanfaat buat penggemar Internet..dan juga tahniah bagi mereka yang saling ingat mengingati dan tegur menegur dalam perkara-perkara kebaikan...)

           Zina telinga - yang mungkin sering mendengar umpatan-umpatan yang dianggap biasa…telinga yang sering mendengar alunan lagu ( untuk hilang stress katanya) yang langsung senikatanya tidak membawa kita mengingat Tuhan…



          Zina mulut - yang terkadang mencemuh orang sesuka hati, menyindir orang tanpa rasa simpati, mengulas senyum paksa saat di sapa dan bersembang tentang dunia tanpa henti....mengutuk sana.. mengutuk sini mempertikai yang itu mempertikai yang ini…tanpa ada langsung mulut yang berzikir mahupun berusrah tatakala kerehatan dirai….kalau di mula bicara tentang agama…semua mulut seolah terkunci…mungkin tidak seronok bagi pendengarnya…mungkin kuno bagi yang tidak suka…mungkin juga boring bagi yang dah terbiasa dengan hal-hal duniawi….

( Suatu masa dahulu akulah antara insan-insan yang ku nyatakan di atas.. Astaghfirullah....Mohon keampunanMu Ya Tuhan!)



Bukankah nyawa dicabut bila-bila masa? Ketika kita sedang duduk bersembang..ketika memandu..ketika bermain bola..ketika menonoton tv...dan ketika sibuk dengan urusan dunia! Siapa yang kata ...kita meninggal ...mesti Allah bagi sakit dulu...sempatlah bertaubat..insaf... Benarkah? Bukankah Allah telah berkata..( Jika salah harap betulkan..) " Beribadahlah kamu seolah-olah akan mati ESOK...dan carilah rezeki seolah-olah kamu akan hidup seribu tahun lagi..'

Mengapakah kita sentiasa merasa tidak seronok, boring dan cepat rasa nak marah acapkali bila ada hati-hati yang ingin bicara tentang Allah?...  Tidak takutkah kamu pada azab Allah? Allah tidak pernah sekali membenarkan untuk kita buka aurat ( bukan bermaksud tak pakai tudung) untuk suka-suka..Allah sama sekali tidak pernah memberi kelonggaran untuk kita membuat maksiat dengan tujuan suka-suka…

Bila mana disebut sahaja menutup aurat ramai yang beranggapan memakai tudung. Noktah. Adakah dikatakan tutup aurat itu dengan memakai tudung sahaja?...... ‘memakai tudung’ tapi baju jarang hingga menampakkan yang didalam....’memakai tudung’ tapi  baju t singkat dan ketat hingga menampakkan bentuk gunung dan ganangnya dan bentuk punggungnya… 
( mohon maaf jika keterlaluan)
'memakai tudung' dengan kain yang terbelah ...
'memakai tudung' hanya sampai ke leher...yang boleh di panggil dengan menutup kepala...apatah lagi tudung yang menampakkan rambut...



           Pakailah pakaian  yang macam mana sekalipun ( mengikut syariat) asalkan menutup aurat, tidak menampakkan bentuk tubuh badan, punggung, bentuk buah dada ( sekali lagi mohon maaf jika terkasar bahasa…) Aurat perempuan adalah muka dan dua tapak tangan….Ada juga yang memakai tudung yang labuh tetapi dari fabrik yang lembut hingga melekap di dadanya hingga menampakkan juga ‘bentuk buah dada’ nya…
        
          Lainlah bagi mereka yang bertubuh besar…yang telah berusaha dengan bersungguh-sungguh menutup bentuk buah dadaya...namun masih kelihatan....ada kelonggaran baginya..... dengan syarat ia telah berusaha keras utuk melindunginya….Jangan pula kita tidak pernah berusaha dan dengan mudah melemparkan kata-kata...' Ala..dah memang tudung semua macam ni! nak buat macam mana!..' Kemudian salahkan orang yang jual...orang yang buat...dan sebagainya...Pilihan terletak ditangan kita!

         Berhati-hatilah…Ini perintah Allah…bukan perintah manusia… Akurlah!… Ayuh! sama-sama kita renung-renungkan…Tuhan menciptakan sesuatu yang terindah buat kita…usahlah keindahan itu dengan mudah 'diratah-ratah' oleh pandangan-pandangan liar yang akhirnya menimbulkan ‘Zina Mata’…. Pernah ditanya oleh seseorang ….

         'Apakah tetap berdosa bagi mata yang memandang aurat-aurat perempuan ( yang terdedah ) yang sedang bicara dengannya tanpa ia inginkan?’… Jawabnya”Ya. Ia tetap berdosa, sekiranya ia tidak berusaha menegurnya..kerana andai kamu berdepan dengan sesuatu maksiat..wajib bagimu menegurnya dengan berhemah…DAN orang yang mempamerkan auratnya sangat 'banyak dosanya'…selama mana ramai mata yang memandangnya…’



           Wahai kalbuku… Ku persembahkan diriku untuk menyintaiMu Ya Tuhan…Aku terlalu mendambakan kasih sayangMu Ya Allah… Berikan ku istiqamah yang teguh...seteguh hati hamba-hambaMu yang soleh....Berikanku hidayahMu yang terlalu mahal bagiku… Tawaduk yang terlalu berharga untuk hatiku… Berikan ku benteng hati untuk terus berMujahadah padaMu…



         Cukup, cukuplah duniawi yang dulu kumiliki…. Kini hati ini hanya ingin terpaut padaMu…Inginku basahi lidah degan berzikir dan mengingatiMu.. walau ada yang memandang ku dengan taksub, ekstrem dan apa jua istilah yang dilabelkan….aku yakin Ya Allah…Engkau mengetahui apa yang terpendam di jiwaku… Ingin ku bawa sekali anak-anak ku dan suami ku  untuk terus meraih cintaMu!



       Buat Para Sahabat Seislamku…. 
Rakan-rakan yang kusayangi kerana Allah… Kalian sungguh baik dan mulia dengan meraikan perubahanku…
Terima kasih buat Suami yang tercinta...atas segala teguranmu terhadapku...yang membawa aku meraih cinta Ilahi!
Terima kasih buat sahabat yang selalu mendoakanku....
Moga sama-sama kita berjumpa di Syurga Allah!

Setelah Allah dan Rasul – Cinta High Class
Tautan Hati – Sebarkan CintaMu

              ( Karya Penuh Tarbiyah dari Ustazah Fatimah Syarha )